Saturday, September 20, 2008

Kewajipan Kita Seorang Daie

Tuntutan menjadi aktivis gerakan adalah merupakan satu tuntutan yang tidak perlu dinafikan lagi. Sebagai individu-individu muslim yang punya tasawwur Islam yang jelas, menyumbang jiwa dan harta untuk gerakan Islam adalah satu kemestian, dan bukannya satu pilihan. Kewajipan ini boleh dilihat dari sudut prinsip, hukum dan tuntutan. Menjadi aktivis gerakan adalah wajib kerana bekerja untuk Islam adalah merupakan satu tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada seluruh manusia, didahului oleh para Nabi dan Rasul kemudian ke atas manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an (yang lebih kurang maksudnya):
Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr: 1-3)

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (yang bermaksud):
Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Serulah (manusia) berbuat ma’ruf dan cegahlah mereka dari kerja-kerja munkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya, dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi.” (Hadith Riwayat Ibn Majah dan Ibn Hibban)



Apabila seseorang individu itu telah menggabungkan dirinya dengan gerakan (menjadi aktivis gerakan), maka adalah perlu untuk individu tersebut taat kepada kepimpinan, patuh kepada segala undang-undang dan peraturan serta beriltizam dengan perjuangan gerakan. Penggabungan dengan gerakan bukan setakat melalui pendaftaran sebagai ahli, bukan juga sekadar berulang-alik ke pusat atau sekretariat, dan bukan juga sekadar menghadiri program-program. Penggabungan ini mestilah membawa pengertian yang lebih jauh daripada itu, yakni penggabungan yang tidak sekadar dalam bentuk dan nilai-nilai tertentu sahaja tetapi ia adalah penggabungan yang membuktikan kemantapan ‘aqidah dan kekuatan ikatan fikrah dan tanzim.

Namun, untuk mencapai tahap penggabungan yang sebenarnya itu bukanlah satu proses yang mudah. Aktivis gerakan seringkali terpaksa berhadapan dengan beberapa konflik dan dilema, khususnya dalam menentukan keutamaan dan memilih di antara kemahuan peribadi dan kehendak gerakan. Justeru, adalah penting bagi para aktivis gerakan, khususnya gerakan pelajar, untuk memahami apakah kewajipan-kewajipan mereka dalam gerakan agar tidak mengutamakan kemahuan dan kehendak peribadi melebihi kewajipan-kewajipan yang sebenarnya merupakan tuntutan yang wajib dilaksanakan.

Pertama sekali, adalah penting untuk kita memahami bahawa penggabungan kita dengan gerakan adalah merupakan penggabungan kita dengan agama Islam itu sendiri. Hal ini bermakna, penglibatan kita sebagai aktivis gerakan adalah kerana ‘aqidah yang benar, bukan kerana ikut-ikutan, bukan kerana kawan, dan bukan kerana terpesona atau kagum dengan karismatik seorang pemimpin gerakan itu. Perkara ini berbalik kepada kewajipan penggabungan diri dengan gerakan itu sendiri.

Maka, apabila penglibatan kita sebagai aktivis gerakan itu ditunjangi oleh penggabungan kita dengan agama Islam itu sendiri, penglibatan kita itu akan mengukuhkan lagi kefahaman kita dalam agama dan menjadikan kita lebih dekat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Perkara ini adalah perkara asas yang sangat penting, kerana visi gerakan tidak akan berjaya kecuali hubungan seseorang aktivis itu dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah benar-benar kukuh dan mendalam dan perhatiannya semata-mata terus bekerja kerana Allah sahaja.

Justeru, aktivis gerakan seharusnya mendapat motivasi untuk terus bergiat dan menyumbang kepada gerakan atas kecintaannya kepada Allah. Apabila yang sebaliknya berlaku, yakni motivasi ataupun dorongan untuk bergiat dalam gerakan datangnya daripada rakan, daripada orang yang diminati serta daripada keuntungan material, maka akan berlakulah gejala futur di mana aktivis gerakan itu akan cepat merasa lesu dan putus asa di tengah-tengah perjuangan. Perkara inilah yang menyebabkan timbulnya sikap acuh tak acuh dan sambil lewa dalam gerakan, walhal setiap aktiviti dan gerak kerja dalam gerakan memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh daripada ahli-ahlinya kerana perjuangan dakwah itu adalah satu perjuangan nafas panjang.

Selain daripada itu, apabila seseorang itu telah menggabungkan diri dengan gerakan, kefahaman tentang agama dan juga tentang budaya dan undang-undang gerakan itu sendiri perlu wujud. Hal ini demikian kerana penggabungan secara membuta-tuli, yang didorong oleh semangat dan perasaan yang melulu adalah ditolak. Atas sebab itulah Al-Maududi meletakkan kelayakan peribadi yang pertama bagi seorang aktivis gerakan ialah kefahaman Islam yang sebenar.

Apabila penggabungan diri seorang aktivis itu dengan gerakan adalah didasarkan kepada ‘aqidah yang benar, serta dipandu oleh ilmu yang jelas dan benar, maka tidak akan wujud aktivis-aktivis gerakan yang menjadikan gerakan itu sebagai kuda tunggangan ataupun batu loncatan untuk mendapatkan keuntungan peribadi semata-mata. Apabila seseorang aktivis itu menggabungkan dirinya ke dalam gerakan, maka seseorang itu mestilah mengorbankan seluruh kekuatan dan kemampuannya untuk gerakan, menyerahkan kepentingan diri untuk kepentingan gerakan, bukan sebaliknya.

Pengorbanan

Dalam soal ini, pengorbanan adalah amat diperlukan. Mana mungkin ada perjuangan kalau tidak ada pengorbanan. Aktivis gerakan, khususnya anak muda dan golongan pelajar, perlu banyak mengorbankan matlamat dan kehendak peribadi demi memastikan matlamat gerakan dapat dicapai. Atas faktor inilah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berulang-ulang kali menyeru di dalam Al-Qur’an untuk berjihad dengan mengorbankan harta dan jiwa.


Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an (yang lebih kurang maksudnya):
(yakni) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,” (Surah As-Saff: 11)


Seterusnya, seperkara lagi yang perlu difahami oleh aktivis gerakan adalah penggabungan masa depannya dengan gerakan. Hal ini bermakna, masa depan seorang aktivis itu mestilah terikat dengan gerakan dalam apa bentuk dan keadaan sekalipun.



Apabila seseorang aktivis itu telah memahami bahawa penggabungan dirinya dengan gerakan adalah merupakan penggabungan dirinya dengan ajaran Islam itu sendiri, dan juga memahami bahawa keberadaan dalama gerakan itu sendiri merupakan antara tuntutan dalam ajaran Islam itu sendiri, maka dengan sendirinya seseorang aktivis itu akan memahami bahawa ia perlu menggabungkan seluruh kehidupannya, termasuk masa depannya, untuk gerakan. Hal ini tidaklah bermaksud seseorang aktivis itu perlu menyerahkan sepenuhnya kepada gerakan untuk mencatur masa depannya, sebaliknya ia perlu menjadikan misi dan visi perjuangan gerakan (yang berdasarkan kepada tuntutan Islam itu sendiri) sebagai tunjang dalam merancang masa depannya. Dalam erti kata lain, seorang aktivis gerakan Islam perlu memastikan bahawa seluruh aktiviti kehidupannya dapat menyumbang kepada matlamat gerakan Islam.

Penggabungan dalam gerakan ini memerlukan pengorbanan. Namun, pengorbanan itulah yang dituntut dalam perjuangan. Aktivis gerakan perlu mengorbankan segala keinginan dan cita-cita peribadi yang tidak menguntungkan gerakan secara keseluruhan. Aktivis gerakan adalah mereka yang meletakkan perjuangan untuk melakukan tajdid Islami itu sebagai matlamat hidup mereka. Seseorang aktivis itu mungkin melakukan aktiviti-aktiviti lain untuk faedah rohani dan jasmaninya, tetapi tujuan hidupnya tetap merupakan perjuangan tadi dan bukan untuk tujuan lain.

Kesimpulannya, aktivis gerakan itu perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang peranan dan tanggungjawabnya untuk menggabungkan dirinya dengan gerakan, dan seterusnya mengorbankan seluruh kehidupannya demi menyumbang ke arah melaksanakan misi dan visi perjuangan gerakan.

Allah jua yang Maha Mengetahui.

Saturday, September 13, 2008

Tahniah Graduan KUDQI

MAJLIS KONVOKESYEN KUDQI KALI KE-6

HULU TERENGGANU, 3 Sept - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata PAS tidak pernah ketinggalan dalam menyediakan bidang pendidikan yang bermula seawal pra-sekolah, sekolah rendah, menengah hingga ke peringkat Universiti.
Beliau menyarankan agar umat Islam berusaha mencari ilmu pengetahuan di mana sahaja kerana menjadi keperluan yang amat penting dan mustahak masa kini.

Menurutnya Ilmu pengetahuan yang mendalam ibarat ‘senjata’ di zaman ini bagi menguasai dunia yang global agar tidak ketinggalan.

Beliau berkata pendidikan PAS berkembang maju sejak penubuhan pengajian pra-sekolah PASTI dan disambung dengan Sekolah-sekolah Rendah Islam seperti Darul At-Taqwa Batu Enam dan Kemaman, Darul Salam di Losong Kuala Terengganu, Darul Ehsan di Kubang Lembek Manir.

“Kita (PAS) terus maju dalam bidang pendidikan dengan menubuhkan Sekolah Darul Quran di peringkat menengah dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI),” jelasnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Graduan KUDQI Kali Ke-6, di Dewan Utama Kubang Lembek, Manir, 31 Ogos lalu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri ketika di bawah pemerintahan kerajaan PAS Terengganu mendakwa kejayaan PAS memasarkan anak-anak ke luar negara.

“Kita (PAS) bukan sahaja mampu menyediakan pendidikan kepada anak-anak di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah. Tetapi berjaya memasarkan anak-anak kita (PAS) ke luar negara untuk menyambung pengajian masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, anak-anak didik yang lulus di pusat-pusat pengajian yang disediakan berjaya melanjutkan pengajian di Mesir, Arab Saudi, Syria, Jordan, Yaman dan sebagainya.

Bahkan, katanya kejayaan yang lebih baik dan cemerlang pernah dicapai oleh para pelajar yang dihantar melalui pendidikan yang disediakan oleh PAS di luar negara.

Namun begitu, Ustaz Harun melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak berkuasa di negara ini melalui kedutaan tertentu cuba menyekat serta menutup usaha yang dilakukan oleh PAS itu.

Menurutnya, PAS mendapat maklumat jelas terdapat usaha di peringkat kedutaan tertentu yang mahukan beberapa buah Universiti terkenal seperti Al-Azhar di Mesir agar tidak mengiktiraf sistem pengajian Sekolah Agama Rakyat di negara ini.

Majlis Konvokesyen KUDQI tersebut disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan hadir sama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah. -buletinonline

Ahlan Wasahlan Ya RAmadhan


Berkata Miqdad (sahabat Rasul sebelum Perang Badar) kepada Rasulullah s. a. w:

"Wahai Rasulullah! Kami tidak akan tinggal di sini sebagaimana dicakapkan oleh Bani Israel kepada Nabi Musa: 'Pergilah kamu dan Tuhan kamu dan berperanglah. Kami akan duduk di sini sahaja.' Tetapi kami akan berkata : 'pergilah kamu dan Tuhanmu dan berperanglah, dan kami akan bersamamu memerangi mereka.' "

Itulah yang contoh sahabat di zaman Rasul yang mengambil pelajaran kesalahan yang dilaksanakan oleh umat Nabi Musa.

Tertarik dengan Firaun?

Rupanya pengikut Nabi Musa banyak terpegun dengan Firaun. Umat Nabi Musa kemudian ditunjukkan kesalahan Firaun sebagai penzalim di atas muka bumi dengan kufur pada Allah dan menggunakan politik untuk melenyapkan kalimah Allah. Namun usaha Firaun itu gagal malah di akhir hidupnya, dia mengucapkan kalimah keimanan tetapi ia ditolak oleh Allah.(40:84-85)

Allah menunjukkan kematian Firaun di depan Bani Israel bagi menunjukkan kuasa manusia adalah terbatas dan kehebatan makhluk bukanlan yang hakiki sehingga kebanyakan manusia terpegun dan gerun. Kehebatan Allah-lah yang sebenarnya yang perlu kita imankan.

Orang yang bersalah mahu kembali ke dunia

Dalam Surah Al-An'am, Allah menceritakan bahawa manusia yang berada di neraka Allah akan memohon pada Allah untuk dikembalikan ke dunia untuk membaiki amal dan memperbanyak kebaikan. Tetapi Allah menempelak mereka bahawa Dia mengetahui mereka akan kembali berbuat keengkaran walaupun diberi peluang sekali lagi.

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi Neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami dan menjadilah kami dari golongan yang beriman. (Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta. (6:27-28)

Hal ini tidak jauh bezanya analogi dengan Ramadhan yang kita ada sekarang.

Apa-apa kemajuan amal di bulan Ramadhan ini?


Telah bersabda Nabi SAW:

Apabila menjelangnya bulan Ramadhan dibukalah pintu-pintu langit dan ditutuplah pintu Neraka Jahannam serta dirantai para syaitan. [Hadis al Bukhari]

Sepatutnya bila syaitan dirantai, kita akan kurang berbuat dosa pada Allah dan kita akan menambah amal serta membaiki diri. Mengapa ? Kerana ramai yang sering menyatakan bahawa mereka berbuat dosa lantaran syaitan menggoda mereka dan menjerumuskan mereka ke lembah maksiat. Ada pula yang menyatakan syaitan yang mengganggu mereka sehingga tidak boleh ke masjid untuk solat, menutup aurat atau menjaga percakapan. Ada pula yang menyatakan syaitan menyuntik jarumnya hingga payah untuk solat di awal waktu atau belajar ilmu Allah. Dan ada pula berhujah: syaitanlah yang banyak menggoda untuk bercampur lelaki perempuan tanpa batasan. Namun kalau Ramadhan sudah tiba, syaitan telah dirantai, tetapi masih lagi ada sisa tengik dosa di atas, mana silapnya?

Ramadhan - Madrasah Amal

Sebagaimana ada manusia di neraka nanti (nauzubillah min zaalik) yang mohon agar dikembalikan ke dunia, maka janganlah kita menjadi orang yang semata-mata meminta Allah kurangkan musuh penggoda agar mampu kita berbuat amal, tanpa usaha kita membaiki diri. Jika syaitan telah dirantai dan masih ada banyak dosa yang kita lakukan, koreksilah diri. Syaitan tidak berkuasa kecuali meniupkan was-was sahaja dalam manusia. Kita sendirilah yang perlu berubah mengawal nafsu untuk menurut perintah Allah. Inilah masa untuk memperbanyak amal.. agar lain sedikit dari hari biasa... dan moga madrasah amal Ramadhan membawa kesan di hari biasa nanti lantas kita 'deserve' untuk mendapat redha Allah kerana telah beramal dan mencari keredaan-Nya... dan tidak meminta Allah untuk dikembalikan ke dunia semula. Ameen