Saturday, September 13, 2008

Tahniah Graduan KUDQI

MAJLIS KONVOKESYEN KUDQI KALI KE-6

HULU TERENGGANU, 3 Sept - Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata PAS tidak pernah ketinggalan dalam menyediakan bidang pendidikan yang bermula seawal pra-sekolah, sekolah rendah, menengah hingga ke peringkat Universiti.
Beliau menyarankan agar umat Islam berusaha mencari ilmu pengetahuan di mana sahaja kerana menjadi keperluan yang amat penting dan mustahak masa kini.

Menurutnya Ilmu pengetahuan yang mendalam ibarat ‘senjata’ di zaman ini bagi menguasai dunia yang global agar tidak ketinggalan.

Beliau berkata pendidikan PAS berkembang maju sejak penubuhan pengajian pra-sekolah PASTI dan disambung dengan Sekolah-sekolah Rendah Islam seperti Darul At-Taqwa Batu Enam dan Kemaman, Darul Salam di Losong Kuala Terengganu, Darul Ehsan di Kubang Lembek Manir.

“Kita (PAS) terus maju dalam bidang pendidikan dengan menubuhkan Sekolah Darul Quran di peringkat menengah dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI),” jelasnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Graduan KUDQI Kali Ke-6, di Dewan Utama Kubang Lembek, Manir, 31 Ogos lalu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri ketika di bawah pemerintahan kerajaan PAS Terengganu mendakwa kejayaan PAS memasarkan anak-anak ke luar negara.

“Kita (PAS) bukan sahaja mampu menyediakan pendidikan kepada anak-anak di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah. Tetapi berjaya memasarkan anak-anak kita (PAS) ke luar negara untuk menyambung pengajian masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, anak-anak didik yang lulus di pusat-pusat pengajian yang disediakan berjaya melanjutkan pengajian di Mesir, Arab Saudi, Syria, Jordan, Yaman dan sebagainya.

Bahkan, katanya kejayaan yang lebih baik dan cemerlang pernah dicapai oleh para pelajar yang dihantar melalui pendidikan yang disediakan oleh PAS di luar negara.

Namun begitu, Ustaz Harun melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pihak berkuasa di negara ini melalui kedutaan tertentu cuba menyekat serta menutup usaha yang dilakukan oleh PAS itu.

Menurutnya, PAS mendapat maklumat jelas terdapat usaha di peringkat kedutaan tertentu yang mahukan beberapa buah Universiti terkenal seperti Al-Azhar di Mesir agar tidak mengiktiraf sistem pengajian Sekolah Agama Rakyat di negara ini.

Majlis Konvokesyen KUDQI tersebut disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan hadir sama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah. -buletinonline