Tuntutan menjadi aktivis gerakan adalah merupakan satu tuntutan yang tidak perlu dinafikan lagi. Sebagai individu-individu muslim yang punya tasawwur Islam yang jelas, menyumbang jiwa dan harta untuk gerakan Islam adalah satu kemestian, dan bukannya satu pilihan. Kewajipan ini boleh dilihat dari sudut prinsip, hukum dan tuntutan. Menjadi aktivis gerakan adalah wajib kerana bekerja untuk Islam adalah merupakan satu tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada seluruh manusia, didahului oleh para Nabi dan Rasul kemudian ke atas manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an (yang lebih kurang maksudnya):
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr: 1-3)
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (yang bermaksud):
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Serulah (manusia) berbuat ma’ruf dan cegahlah mereka dari kerja-kerja munkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya, dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi.” (Hadith Riwayat Ibn Majah dan Ibn Hibban)
Apabila seseorang individu itu telah menggabungkan dirinya dengan gerakan (menjadi aktivis gerakan), maka adalah perlu untuk individu tersebut taat kepada kepimpinan, patuh kepada segala undang-undang dan peraturan serta beriltizam dengan perjuangan gerakan. Penggabungan dengan gerakan bukan setakat melalui pendaftaran sebagai ahli, bukan juga sekadar berulang-alik ke pusat atau sekretariat, dan bukan juga sekadar menghadiri program-program. Penggabungan ini mestilah membawa pengertian yang lebih jauh daripada itu, yakni penggabungan yang tidak sekadar dalam bentuk dan nilai-nilai tertentu sahaja tetapi ia adalah penggabungan yang membuktikan kemantapan ‘aqidah dan kekuatan ikatan fikrah dan tanzim.
Namun, untuk mencapai tahap penggabungan yang sebenarnya itu bukanlah satu proses yang mudah. Aktivis gerakan seringkali terpaksa berhadapan dengan beberapa konflik dan dilema, khususnya dalam menentukan keutamaan dan memilih di antara kemahuan peribadi dan kehendak gerakan. Justeru, adalah penting bagi para aktivis gerakan, khususnya gerakan pelajar, untuk memahami apakah kewajipan-kewajipan mereka dalam gerakan agar tidak mengutamakan kemahuan dan kehendak peribadi melebihi kewajipan-kewajipan yang sebenarnya merupakan tuntutan yang wajib dilaksanakan.
Pertama sekali, adalah penting untuk kita memahami bahawa penggabungan kita dengan gerakan adalah merupakan penggabungan kita dengan agama Islam itu sendiri. Hal ini bermakna, penglibatan kita sebagai aktivis gerakan adalah kerana ‘aqidah yang benar, bukan kerana ikut-ikutan, bukan kerana kawan, dan bukan kerana terpesona atau kagum dengan karismatik seorang pemimpin gerakan itu. Perkara ini berbalik kepada kewajipan penggabungan diri dengan gerakan itu sendiri.
Maka, apabila penglibatan kita sebagai aktivis gerakan itu ditunjangi oleh penggabungan kita dengan agama Islam itu sendiri, penglibatan kita itu akan mengukuhkan lagi kefahaman kita dalam agama dan menjadikan kita lebih dekat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Perkara ini adalah perkara asas yang sangat penting, kerana visi gerakan tidak akan berjaya kecuali hubungan seseorang aktivis itu dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah benar-benar kukuh dan mendalam dan perhatiannya semata-mata terus bekerja kerana Allah sahaja.
Justeru, aktivis gerakan seharusnya mendapat motivasi untuk terus bergiat dan menyumbang kepada gerakan atas kecintaannya kepada Allah. Apabila yang sebaliknya berlaku, yakni motivasi ataupun dorongan untuk bergiat dalam gerakan datangnya daripada rakan, daripada orang yang diminati serta daripada keuntungan material, maka akan berlakulah gejala futur di mana aktivis gerakan itu akan cepat merasa lesu dan putus asa di tengah-tengah perjuangan. Perkara inilah yang menyebabkan timbulnya sikap acuh tak acuh dan sambil lewa dalam gerakan, walhal setiap aktiviti dan gerak kerja dalam gerakan memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh daripada ahli-ahlinya kerana perjuangan dakwah itu adalah satu perjuangan nafas panjang.
Selain daripada itu, apabila seseorang itu telah menggabungkan diri dengan gerakan, kefahaman tentang agama dan juga tentang budaya dan undang-undang gerakan itu sendiri perlu wujud. Hal ini demikian kerana penggabungan secara membuta-tuli, yang didorong oleh semangat dan perasaan yang melulu adalah ditolak. Atas sebab itulah Al-Maududi meletakkan kelayakan peribadi yang pertama bagi seorang aktivis gerakan ialah kefahaman Islam yang sebenar.
Apabila penggabungan diri seorang aktivis itu dengan gerakan adalah didasarkan kepada ‘aqidah yang benar, serta dipandu oleh ilmu yang jelas dan benar, maka tidak akan wujud aktivis-aktivis gerakan yang menjadikan gerakan itu sebagai kuda tunggangan ataupun batu loncatan untuk mendapatkan keuntungan peribadi semata-mata. Apabila seseorang aktivis itu menggabungkan dirinya ke dalam gerakan, maka seseorang itu mestilah mengorbankan seluruh kekuatan dan kemampuannya untuk gerakan, menyerahkan kepentingan diri untuk kepentingan gerakan, bukan sebaliknya.
PengorbananDalam soal ini, pengorbanan adalah amat diperlukan. Mana mungkin ada perjuangan kalau tidak ada pengorbanan. Aktivis gerakan, khususnya anak muda dan golongan pelajar, perlu banyak mengorbankan matlamat dan kehendak peribadi demi memastikan matlamat gerakan dapat dicapai. Atas faktor inilah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berulang-ulang kali menyeru di dalam Al-Qur’an untuk berjihad dengan mengorbankan harta dan jiwa.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an (yang lebih kurang maksudnya):
“(yakni) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,” (Surah As-Saff: 11)
Seterusnya, seperkara lagi yang perlu difahami oleh aktivis gerakan adalah penggabungan masa depannya dengan gerakan. Hal ini bermakna, masa depan seorang aktivis itu mestilah terikat dengan gerakan dalam apa bentuk dan keadaan sekalipun.
Apabila seseorang aktivis itu telah memahami bahawa penggabungan dirinya dengan gerakan adalah merupakan penggabungan dirinya dengan ajaran Islam itu sendiri, dan juga memahami bahawa keberadaan dalama gerakan itu sendiri merupakan antara tuntutan dalam ajaran Islam itu sendiri, maka dengan sendirinya seseorang aktivis itu akan memahami bahawa ia perlu menggabungkan seluruh kehidupannya, termasuk masa depannya, untuk gerakan. Hal ini tidaklah bermaksud seseorang aktivis itu perlu menyerahkan sepenuhnya kepada gerakan untuk mencatur masa depannya, sebaliknya ia perlu menjadikan misi dan visi perjuangan gerakan (yang berdasarkan kepada tuntutan Islam itu sendiri) sebagai tunjang dalam merancang masa depannya. Dalam erti kata lain, seorang aktivis gerakan Islam perlu memastikan bahawa seluruh aktiviti kehidupannya dapat menyumbang kepada matlamat gerakan Islam.
Penggabungan dalam gerakan ini memerlukan pengorbanan. Namun, pengorbanan itulah yang dituntut dalam perjuangan. Aktivis gerakan perlu mengorbankan segala keinginan dan cita-cita peribadi yang tidak menguntungkan gerakan secara keseluruhan. Aktivis gerakan adalah mereka yang meletakkan perjuangan untuk melakukan tajdid Islami itu sebagai matlamat hidup mereka. Seseorang aktivis itu mungkin melakukan aktiviti-aktiviti lain untuk faedah rohani dan jasmaninya, tetapi tujuan hidupnya tetap merupakan perjuangan tadi dan bukan untuk tujuan lain.
Kesimpulannya, aktivis gerakan itu perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang peranan dan tanggungjawabnya untuk menggabungkan dirinya dengan gerakan, dan seterusnya mengorbankan seluruh kehidupannya demi menyumbang ke arah melaksanakan misi dan visi perjuangan gerakan.
Allah jua yang Maha Mengetahui.