Sunday, June 27, 2010

Perjalanan Dakwah [Siri 1]

Jalan Pendakwah

Tunggak kepada setiap dakwah yang sebanar ialah seseorang itu mestilah beriman dengannya dengan keimanan yang dapat menguasai perasaannya dan dapat mengawal semangatnya serta dapat dilihat kesan keimanan tersebut dalam tindak-tanduk kehidupan seharian dimana dia menjadi contoh kepimpinan yang terbaik. Apabila telah sempurna dalam jiwanya semua faktor-faktor keimanan tersebut lantas dia berdakwah dan membimibing keluarga yang hampir. Kemudian barulah beralih untuk menyeru rakan-rakan dan jiran tetangga dan seterusnya meliputi manusia seluruhnya dengan kemampuan dakwah yang telah ditentukan di dalam ilmu Allah.

Begitulah gambaran sebenar dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda dijanjikan oleh Allah s.w.t. untuk mendidik dan mengajar manusia hingga sampai kepada tahap kesempurnaan, keimanan dan keyakinan yang kukuh. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersabda :

"ادبني ربي فاحسن تاديبي"

Ertinya : Tuhanku telah mengajarkanku dengan sebaik-baik pengajaran.

Begitulah cara dakwah Rasulullah s.a.w. dimana baginda diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk memulakan dari diri sendiri dengan melipat gandakan usaha dan ketaatan sebagai persediaan untuk bangkit menghadapai masyarakat, dengan tujuan untuk menyampaikan segala hukum dan perundangan daripada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman :

"اقرأ باسم ربك الذى خلق. خلق الانسان من علق. اقرأ وربك الاكرام. الذى علم بالقلم. علم الانسان م لم يعلم.."

Ertinya : Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, kerana Tuhanmu itu amat mulia. Yang mengajar dengan perantaraan kalam. Ia mengajar manusia apa yang mereka tidak ketahui. [Surah Al-Alak, ayat 1-5]

Kemudian diikuti pula dengan firmanNya :

"يا ايها المزمل. قم الليل الا قليلا. نصفه او انقس منه قليلا. او زد عليه ورتل القران ترتيلا. انا سنلقى عليك قولا ثقيلا."

Ertinya : Wahai orang yang berselimut, bangunlah pada malam hari, kecuali sedikit daripadanya iaitu setengahnya atau kurangkan sedikit daripadanya atau lebihkan keatasnya. Dan bacalah Al-Quran itu dengan sungguh-sungguh tartil. Sesungguhnya Kami akan turunkan kepadamu perkataan yang berat. [Surah Al-Muzammil, ayat 1-5]

Dakwah kepada Ilmu Pengetahuan

Di dalam ayat yang pertama ia adalah dakwah dan seruan kepada membaca dan belajar. Walaupun ayat ditujukan hanya kepada Rasulullah s.a.w. akan tetapi mencakupi – malah lebih utama ditujukan kepada sesiapa jua yang mahu bangkit berdakwah. Dia haruslah tahu dan memahami segala rahsia dan hikmah uslub dakwah agar dia terhindar dari kejahilan uslub tersebut yang mana kejahilan adalah batu penghalang bagi penyebaran dakwah. Kejahilan juga akan menyebabkan kesesatan diri sendiri dan orang lain yang bersama-sama dengannya.

Maka seharusnya, seorang pendakwah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu baik ilmu duniawi dan ukhrawi. Agar tidak menimbulkan fitnah dikemudian hari. Tidak timbul isu pendakwah hanya tahu berdakwah tetapi tidak tahu melaksanakan sesuatu tugasan yang diberi seperti melaksanakan program dan pentadbiran.

Dakwah kepada Bangun Diwaktu Malam

Dalam ayat yang kedua pula, ia merupakan seruan supaya bangun bersembahyang pada waktu malam keseluruhannya atau sebahagian daripadanya dan arahan supaya membaca Al-Quran. Sesungguhnya itu adalah antara perkara yang dapat membantu para pendakwah memikul tanggungjawabnya sebagai penyeru kejalan Allah. Oleh itu, dia mesti menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. dan memohon pertolongan-Nya bagi memperolehi kekuatan roh, kejernihan jiwa dan kecerdasan tubuh badan dan juga mengharapkan ganjaran daripada Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

" ينزل الله عزوجل الى سماء الدنيا كل ليلة, حين يمضى ثلث الليل الاول فيقول : انا الملك.. اتا الملك, من ذا الذى يدعونى فاستجيب له, من ذا الذى يسالنى فاعطيه. من ذا الذى يستغفرنى فاغفر له. خلا يزال كذالك حتى يضئ الفجر"

Ertinya : Allah menurunkan rahmat-Nya ke langit dunia setiap malam ketika berlalu sepertiga malam dengan Dia berfirman ; Akulah Raja, Akulah Raja. Kepada sesiapa yang bermohon kepada-Ku nescaya akan-Ku berikan. Sesiapa yang meminta keampunan dariapda-Ku nescaya akan-Ku ampunkan dan teruslah begitu hingga terbit fajar.

Dakwah kepada kebersihan

Nabi Muhammad s.a.w. telah menghabiskan masa setahun genap dengan mematuhi perintah Allah s.w.t. bangun bersembahyang pada setiap malam – sepanjang malam atau sebahagian daripadanya sahaja – sehingga baginda mempunyai persediaan roh dan kekuatan untuk menyampaikan dakwah kepada keluarga yang hampir dan masyarakat keseluruhannya.

Allah s.w.t. berfirman :

" يا ايها المدثر. قم فانذر. وربك فكبر. وثيابك فطهر. والرجز فاهجر. ولا تمنن تستكثر. ولربك فاصبر.."

Ertinya : Wahai orang yang berselimut, bangunlah lalu berilah peringatan. Dan agungkanlah Tuhanmu. Dan bersihkanlah pakaianmu. Dan tinggalah segala perbuatan yang keji. Dan janglah engkau memberi dengan harapan untuk medapat balasan yang lebih banyak. Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah. [Surah Al-Mudassir, ayat 1-7]

Jelas daripada ayat-ayat diatas bahawa sebahagian daripada sifat-sifat yang mesti ada kepada para da’ie ialah dia sanggup untuk tampil kehadapan, memberi ingatan kepada manusia, membesarkan perintah Allah dan percaya dengan takdir-Nya. Dia mestilah, teguh pendirian dan bersih hati serta ikhlas, menjauhkan diri daripada segala dosa dan maksiat, merendahkan diri kepada Allah dan manusia, tidak mengharapkan balasan kurnia yang banyak daripada Allah s.w.t dengan sebab menjalankan tugas dakwah.

Dia mestilah mempunyai semangat jihad dalam menyeru dan membimbing manusia ke jalan Allah s.w.t. dan mestilah mempunyai kesabaran dan sanggup menghadapi segala ranjau dan halangan kera itulah jalan-jalan yang telah dilalui oleh Rasul-rasul Ulul Azmi, [yang mempunyai keazaman yang tinggi dan tahan diuji] yang terdahulu dalam memikul tanggungjawab kenabian dan beban risalah.

Saf Pertama Bagi Dakwah Kebenaran

Begitulah Allah s.w.t memerintahkan Rasul-Nya supaya menyampai dan memberikan ingatan kepada manusia. Dengan himah-Nya pula telah memberikan ilham supaya melakukan dengan penuh taat. Dakwah nabi s.a.w. bermula dengan secara senyap-senyap [rahsia] yang mana seruan itu kepada kaum keluarga yang hampir.

Orang pertama yang diserunya ialah Sayyidatina Khadijah isterinya. Dialah orang pertama yang mula-mula menyahut dan mengimani ajaran Rasulullah s.a.w. Kemudian diikuti oleh Sayyidina Ali bin Abi Talin yang ketika itu baru berusia sepuluh tahun.

Kemudian diikuti oleh Sayyidina Zaid bin Harithah, bekas hamba dan anak angkatnya. Dengan ini jelaslah bahawa Nabi s.a.w. memulakan dakwahnya kepada orang yang hampir dengannya disamping Allah mengurniakan hidayah dan petunjuk-Nya kepada orang-orang yang berkenaan.

Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun memilih dari kalangan mereka yang bersih hatinya dan ikhlas untuk diajak memeluk agama Allah yang suci dalam menuju kebenaran.

No comments: