Wednesday, March 31, 2010

Politik dunia Islam 2009: 10 berita utama

Perkembangan dunia Islam terus menjadi berita-berita utama antarabangsa, memberi kesan kepada politik serantau dan global, bermula dengan serangan Israel ke atas Gaza pada Disember 2008 sehingga Januari 2009, kepada konflik di Yaman yang semakin merebak ke seluruh wilayah negara itu dan jiran. Berikut 10 berita dan pemain utama dalam dunia Islam, yang memberi kesan besar kepada negara terbabit, dunia Islam secara keseluruhan dan politik dunia.

1. Serangan terhadap Gaza, Palestin

Dunia Islam memulakan tahun 2009 dengan menyaksikan konflik di Gaza, perang mempertemukan kekuatan tidak seimbang tentera Israel dengan Hamas dan kumpulan-kumpulan lain di wilayah Palestin dikuasai Hamas ini. Perang bermula pada Disember 2008. Awal 2009, Israel memulakan serangan darat selepas seminggu serangan udara. Perang berakhir pada 18 Januari, dua hari sebelum presiden baharu Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah. Hampir 1,500 warga Palestin dilaporkan terbunuh, dengan kemusnahan hampir AS$2 bilion. Israel turut menyerang masjid, sekolah dan tempat-tempat awam, membunuh semua termasuk kanak-kanak. Tidak lama selepas perang, Israel memilih sebuah kerajaan dikuasai parti berhaluan kanan. Demonstrasi diadakan di seluruh dunia membantah tindakan Israel. Reaksi di dunia Islam termasuk boikot terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain.

2. Dasar luar baharu Turki

Negara yang sedang menggerakkan dasar luar baharu, Turki, bertindak pragmatik dalam menangani isu Gaza melalui satu tindakan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam forum di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, menaikkan imej Turki ketika dunia Arab dilihat gagal bertindak. Di bawah arkitek dasar luar baharu Ahmet Davutoglu, akademik hubungan antarabangsa berpengalaman luas, Turki mengaktifkan usaha baharu membina hubungan baik dengan negara-negara jiran termasuk Armenia dan Syria dan cuba membina ruang pengaruh, berdasarkan fahaman pan-Turkisme atau apa yang disifatkan pemerhati sebagai perspektif "neo-Uthmaniyah" Ahmet. Ahmet, yang pengalamannya termasuk mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Beykent Istanbul, disebut sebagai "Henry Kissinger Turki" yang kini menjadi tokoh penting parti pemerintah, AKP.

3. Konflik Yaman

Menjelang Ramadan tahun lalu, Yaman menyaksikan bermulanya konflik melibatkan kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dengan pemberontak Houthi di utara. Kini, setelah tiba bulan Muharram 1431, konflik di Yaman semakin meluas dan meningkat dari segi intensitinya, apabila AS mula terlibat dalam serangan terhadap kumpulan al-Qaeda di negara ini, kumpulan dikenali sebagai al-Qaeda di Semenanjung Arab (al-Qaeda in the Arabian Peninsula, AQAP) menggabungkan al-Qaeda Yaman dengan Arab Saudi. Negara dilanda masalah sumber air dan hidrokarbon ini juga berdepan kebangkitan kumpulan pemisah Marxist di selatan. Penglibatan Saudi menyerang Houthi juga menambahkan kerumitan konflik ini, yang kini telah menyebabkan lebih 170,000 menjadi pelarian di dalam negara. Peranan Iran dan Saudi memperlihatkan dimensi persaingan kuasa serantau dalam konflik ini.

4. Pilihan raya presiden dan isu nuklear Iran

Iran mengadakan pilihan raya presiden pada 12 Jun lalu, dengan keputusan penyandang Mahmoud Ahmadinejad mengekalkan jawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini ditentang hebat Mir Hossein Mousavi dan ribuan penyokongnya, menggegarkan republik Islam yang berpandukan kepada ide Wilayatul Faqih yang menetapkan kuasa kepada para ulama. Kebangkitan digelar "revolusi hijau" oleh kem Mir Hossein mendapat kredibiliti dan imej yang positif bagi sesetengah pihak kerana warna hijau yang digunakan - yang dikaitkan dengan Islam dan Nabi Muhammad saw - sebagai simbol gerakan menentang pemerintah Iran. Pemerintah Iran masih berdepan cabaran getir penentangan ini, yang mendapatkan simpati apabila Ayatullah Hossein Ali Montazeri meninggal dunia pada 20 Disember lalu. Pada masa yang sama, Iran terus berdepan cabaran berhubung isu nuklearnya apabila sikap kerajaan baharu AS tidak berubah walaupun sedia berunding.

5. Afghanistan-Pakistan dan Taliban

Afghanistan dan Pakistan ditangani sebagai satu oleh sebahagian besar komuniti dasar luar AS, ekoran hubungan rapat kumpulan Taliban di kedua-dua negara dan kaitan rapat geografi kedua-dua negara dalam konflik di Afghanistan. Afghanistan kini menjadi satu agenda dasar luar penting bagi Obama, yang meluluskan 30,000 anggota tentera untuk dihantar ke negara ini. AS kini mempunyai kehadiran yang besar di Asia Tengah. Pada masa sama, Presiden hamid Karzai baharu melengkapkan anggota kabinetnya, yang dikritik ramai sebagai tidak memenuhi janji memerangi korupsi dan pada masa sama memberikan kuasa kepada pihak-pihak tidak sepatutnya. Kedatangan lebih ramai tentera AS dan pemerintahan Hamid yang tidak bersih dan bebas bakal meneruskan ketidaktentuan di Afghanistan. Kedatangan lebih ramai anggota tentera mampu meningkatkan lagi konflik dengan kumpulan militan.

6. Lanun dan kehadiran kuasa asing di Somalia

Penculikan dan rampasan kapal oleh lanun Somalia yang mula berleluasa pada 2008 terus berlaku pada 2009, dan menarik kedatangan tentera-tentera laut asing termasuk Jepun dan Rusia, menjadikan kawasan perairan Somalia yang strategik itu semakin tegang. Kawasan Teluk Aden bersempadan Laut Merah - dihubungkan laluan sempit Bab al-Mandeeb di tengah-tengah antara Djibouti dan Eritrea dengan Yaman - ialah satu laluan penting dalam perdagangan antarabangsa. AS juga menjalankan operasi pesawat tanpa juruterbang di kawasan perairan ini. Kawasan ini terletak tidak jauh daripada Yaman, satu lagi kawasan panas yang menjadi salah satu sumber senjata bagi lanun Somalia. Selain itu, tentera AS dan Iran juga meningkatkan kehadiran di kawasan perairan ini, mengaitkannya dengan isu lanun dan juga ketidakstabilan di Tanduk Afrika dan Yaman.

7. Pilihan raya Lubnan

Lubnan menjadi medan persaingan kuasa-kuasa asing sejak sekian lama, dan pilihan raya pada 7 Jun 2009 menunjukkan realiti ini kekal dalam permainan politik Lubnan. Kumpulan 14 Mac yang pro-Barat memenangi 71 daripada 128 kerusi, yang dibahagikan kepada 64 untuk Muslim dan 64 Kristian, susunan diwarisi daripada penjajahan Barat yang memberi kelebihan kepada Kristian. Saad Hariri dan kumpulan 14 Mac mendapat sokongan kuat AS, Arab Saudi dan Mesir, manakala Hizbullah dan Amal disokong Iran dan Syria. Kumpulan diketuai Hizbullah yang disebut-sebut akan menang tidak berjaya merealisasikan jangkaan itu, tetapi Lubnan meneruskan penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang dilaksanakan penggal lepas, proses yang hanya selesai beberapa minggu lalu, dengan Saad mengetuai kerajaan baharu.

8. Uyghur di Xinjiang

Wilayah Xinjiang menyaksikan kebangkitan rakyat berketurunan Uyghur memprotes layanan buruk kerajaan China dan dominasi kaum Cina han di wilayah tersebut. Di sini dapat diperhatikan perana Turki menggerakan kaum Uyghur daripada rumpun bangsa Turki sebagai sebahagian agendanya meluaskan ruang pengaruh. Ankara dan Beijing bertikam lidah dalam hal ini, dengan Turki berperanan sebagai pembela nasib Uyghur ketika China dilihat di seluruh dunia sebagai penindas. Dengan sokongan Turki dan AS, Rebiya Kader, tokoh Uyghur berpangkalan di Washington muncul sebagai ikon kaum tertindas ini, hampir menyamai peranan dimainkan Dalai Lama bagi Tibet. Perkembangan ini, yang berlanjutan selama beberapa bulan, menyumbang dalam menjadikan perjuangan Uyghur menuntut kebebasan dalam hal berkaitan agama dan budaya menjadi perhatian dunia Islam untuk satu tempoh.

9. Libya dan pembebasan Abdel Baset al-Megrahi

Abdel Baset al-Megrahi, disabit bersalah dalam pembunuhan 270 orang akibat pengeboman pesawat AS, Pan Am 103 di ruang udara Lockerbia, Scotland pada 21 Disember, 1988. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Negaranya, Libya, menjadi tumpuan negara-negara Barat terbabit dan diletakkan sebagai satu musuh utama untuk satu tempoh yang panjang. Pada 20 Ogos lalu, beliau dibebaskan atas dasar kemanusiaan kerana dinilai doktor menghidap kanser prostat dan hanya akan hidup kurang tiga bulan lagi. Satu debat politik antarabangsa berlangsung ekoran tindakan kerajaan Scotland ini. Abdel Baset masih berusaha membersihkan namanya daripada tuduhan terlibat dalam pengeboman itu. Keadaan sekitar pembebasan Abdel Baset mengundang pelbagai spekulasi berhubung rundingan pembebasan beliau melibatkan kerajaan terbabit.

10. Islamofobia di Eropah

Di Dresden, timur Jerman, pada 11 November lalu, Alexander Wiens, pembunuh Marwa al-Sherbini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Wiens disabit membunuh Marwa akibat prejudisnya terhadap wanita Muslim berasal Mesir itu. Beberapa minggu lalu, di Switzerland, usaha mengharamkan menara masjid di negara itu mendapat sokongan 57 peratus pengundi negara Eropah itu. Sentimen itu sampai ke Belanda dan Jerman, apabila ahli-ahli politik berhaluan kanan di sana melahirkan sentimen yang sama. Sebelum itu, di Cologne, Jerman dan di utara London, Inggeris, protes terhadap masjid telah berlaku, memperlihatkan sentimen yang semakin disuarakan di Eropah, walaupun tidak kelihatan mendapat sokongan popular. Perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang potensi ancaman kepada kepelbagaian budaya dan kebebasan beragama di Eropah.

TARBIYYAH RUHIYYAH TANGISAN KERANA TAKUT KEPADA ALLAH � SATU PENILAIAN TERHADAP PERSOALAN HATI

Fenomena tangisan di kalangan manusia hari ini mempunyai maksud yang tersendiri, ini kerana ada yang menangis sebab ditinggalkan orang yang amat dikasihi, sama ada seorang kekasih, ibu, bapa, anak-anak, jiran, sanak saudara terdekat dan seumpamanya.

Terdapat juga yang menangis kerana terlalu gembira sebab bertemu semula dengan orang yang terpisah sejak sekian lama, ada juga di kalangan mereka yang terlalu mudah untuk mengalirkan air mata apabila menonton sebuah cerita yang berkonsepkan kesedihan dengan pelbagai karenah dan watak dalam filem tertentu.

Apapun amat sukar hari ini untuk mendapatkan jenis manusia yang menangis kerana takutkan Allah sebab ia amat terbatas, ini kerana jiwa serta hati mereka tidak terikat melalui hubungan dengan Allah selaku Pencipta, atau dengan kata lain hati mereka tidak melalui proses tarbiyyah seperti yang dialami oleh generasi silam.

Hati manusia hari ini tidak selembut mereka yang terdahulu daripada kita, malah tidak berusaha untuk mencari jalan bagaimana hati tersebut dapat dilunak dan dijinakkan melalui hubungan dengan Allah SWT.

Pendek kata, faktor yang menyebabkan manusia hari ini tidak mementingkan persoalan pensucian hati dan jiwa adalah disebabkan mereka tidak menggarap ilmu agama dengan sepatutnya, mereka membiarkan hati tersebut kosong dan akhirnya terjebak dalam kancah yang amat dikutuk oleh Allah SWT.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w ada memberi wasiat kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud : Wahai Ali, jika sekiranya berlalu 40 hari di kalangan orang-orang Islam dan mereka tidak duduk (secara langsung) dengan para alim ulama. (menadah kitab, maka mereka akan ditimpakan oleh Allah dengan dua implikasi, pertama hati mereka menjadi keras dan kedua mereka berani pula (terjebak) melakukan dosa-dosa besar.

Jelas daripada wasiat baginda s.a.w di atas menunujukkan kepada kita, bahawa apabila seseorang muslim itu yang tidak bersedia untuk duduk bersama alim ulama. Untuk belajar daripada mereka, maka dia akan ditimpakan dua perkara, hati keras yang tidak memungkinkan dia mendapat petunjuk daripada Allah malah berani pula melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat, membunuh, meragut, memfitnah Islam membenci ulama, menderhaka kepada kedua ibu bapa, melanggar perintah Allah, menghina hukum-hukum Islam, meletupkan mangsa yang dibunuh dan banyak lagi yang dianggapa sebagai jenayah di sisi Allah SWT.

Pendekatan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad mengenai nilai air mata

Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra yang bermaksud : Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyu.

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Mereka juga tidak berusaha merebut peluang untuk dimasukkan dalam salah satu daripada tujuh kategori manusia yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat, seperti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat (di padang Mahsyar), di mana tidak ada naungan melainkan naungan Allah :- Pemerintah yang adil, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah, remaja yang membentuk dirinya untuk beribadat kepada Allah, seorang lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang rupawan, hartawan dan mempunyai kedudukan, lalu dia berkata, sesungguhnya aku takut kepada Allah (atau sebaliknya), seorang yang mendermakan dengan tangan kanannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui (kerana ikhlas) dan seseorang itu yang mengingati Allah (dengan mengenangkan segala dosa yang dibuat) hingga mengalirkan air mata (kerana takut kepada Allah) - Hadis Sohih.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda : Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah...........( Hadis riwayat at-Tirmizi).

Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi. golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya : Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata..

Kesan air mata positif yang melayakkan masuk syurga Allah

Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT :

1- Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.

2- Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya.

3- Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.

4- Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.

5- Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.

Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Thursday, March 25, 2010

Pohon Toyyibah

PoHoN ItU...

Pernahkah sesekali kita mengambil masa walaupun hanya seketika untuk mentadabburi keindahan alam ciptaan Allah yang Maha Perkasa ini? Adakah kita mensyukuri dan mengambil iktibar dari apa yang telah dijadikan oleh Allah di sekeliling kita?>

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka” ( QS 3: 190-191)

Teringat kata-kata seorang akhwat ketika kami sedang menuruni sebuah gunung di negeri Sembilan. Ketika kami berehat melepaskan lelah, ukht ini memberikan sedikit taujih.>

Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit, (pohon itu) menghasilkan buah pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya, dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat.” (QS 14:24-25)

Apakah pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat diatas? Bagaimana Allah memperingatkan kita dengan ayat itu. Sangat jelas apa yang diperumpamakan oleh Allah. Cuba kita gambarkan sebatang pohon yang akarnya menghunjam kuat ke tanah (mencengkam), batangnya menjulang ke langit dan sentiasa berbuah pada setiap musim dengan seizin Rabbnya. Bayangkan buah itulah yang menjadi rezeki kepada haiwan mahupun manusia. Sangat besar jasa pohon itu. Mungkin jua akan menjadi naungan manusia ketika waktu panas ataupun hujan..>

Cuba kita kaitkan diri kita dengan pohon itu... Bagaimana gambaran seorang mukmin itu digambarkan sebagai seseorang yang mempunyai akidah yang kukuh tertancap di dalam jiwanya, keimanan yang jitu yang memandu arah hidupnya, hatinya yang benar-benar ikhlas dalam rangkanya mencari redha Allah dan sentiasa menampilkan akhlaqul kharimah kerana dirinya benar-benar tercelup dengan ayat-ayat Allah.. Apakah perkaitan sebenarnya antara seorang mukmin itu dengan pohon itu?>

Akidahnya yang tertancap kukuh di dalam jiwanya kita boleh kaitkan dengan kekuatan akar yang mencengkam di dalam tanah. Apakah fungsi akar itu? Selain dari mengcengkam tanah untuk menstabilkan pohon itu dan mengelakkannya dari tumbang, akar ini juga berfungsi untuk menyerap air dan nutrien yang ada di dalam tanah. Dengan adanya air dan nutrien yang mencukupi, ia akan dapat membantu tumbesaran pohon itu. Apa fungsi akidah yang benar-benar kukuh dalam jiwa kita? Akidah inilah yang akan mengakui bahawa tiada Ilah yang akan kita sembah melainkan Allah, mengakui kebesaran Allah. Akidah ini jugalah yang akan membentuk peribadi seseorang itu. Selain itu, dengan keimanan yang benar-benar jitu, inilah yang akan memandu kehidupan seseorang mukmin itu. Di mana dengan iman yang kukuh dan mendasar di dalam jiwa seseorang muslim akan dapat membantu menepis godaan duniawi yang sentiasa berlegar-legar disekelilingnya.. begitu juga dengan pohon itu, akarnya yang mencengkam kuat itu membantu dari mengelakkannya tumbang apabila ditiup angin yang kencang.>

Pada sebatang pohon itu pasti akan terdapat batang yang berfungsi untuk menstabilkan dan menguatkan pohon tersebut. Seorang mukmin itu juga mempunyai kekuatannya sendiri melalui ibadah wajib yang dikerjakan sehari-harian tanpa ada rasa jemu dan keluh kesah. Ia menjadi tunjang dalam kehidupan seseorang insan itu. Ia banyak membantu diri seseorang itu untuk berdiri teguh dan membantu kekuatan iman itu. Dan pada pohon itu terdapat dahan-dahan yang mana buahnya akan tergantung disitu.. Itulah gambaran ibadah-ibadah sunat yang akan jadi penyokong kepada ibadah wajib kita. Ia membantu untuk menguatkan lagi diri dan dalaman seseorang itu. Kenapa kita perlu melakukan amalan-amalan harian secara istiqomah seperti qiamulail, berzikir, tilawah al-Quran dan lain-lain? Ini kerana ibadah-ibadah sunat inilah yang akan memampung kekurangan yang ada pada ibadah wajib kita. Dan hasilnya akan lahirlah akhlaqul kharimah iaitu akhlak yang mulia terbias dari iman, amal dan hatinya yang bersih... Dan begitu juga pohon itu, pasti ia akan menghasilkan buah yang manis... Pohon sabar itu buahnya akan merasa manis. Maka sifat sabar dan teliti sangat perlu ada dalam diri seseorang mukmin itu..>

Pada pohon itu terdapat dahan-dahan dan daun-daun. Walaupun daun itu sudah berguguran ke tanah tetapi tetap ada peranannya juga. Daun-daun yang gugur itu akan mereput dan menjadi baja yang akan memberikan nutrien kepada tanah itu. Dan ketika daun-daun itu berada di ranting-ranting, ia akan menjalankan proses fotosintesis. Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kehadiran kita di dunia ini memberi manfaat kepada orang lain? Apakah sumbangan kita kepada Islam yang amat kita cintai ini. Persoalan seperti ini sepatutnya kita ajukan kepada diri kita, insan yang lemah dan sentiasa memerlukan kekuatan dari Allah. Sebenarnya erti hidup ini adalah apabila kita banyak memberi kepada orang lain. Maka sangat wajarlah kita merasai kesusahan untuk membahagiakan hidup orang lain.>

Dan pada pengakhirannya, sekuat manapun pohon itu, apabila sudah sampai masanya pasti ia akan menyembah bumi. Begitulah aturan Allah. Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (QS 3:185). Begitu juga seorang manusia, terkenal manapun dirinya, suatu hari nanti pasti Allah akan mengambil nyawa kita. Jadi bagaimanakah persiapan kita untuk berjumpa dengan Allah? Sudahkah kita mempersiapkan diri kita? Apakah bekal yang kita akan bawa nanti. Semoga kita sentiasa mempersiapkan diri kita untuk berhadapan dengan Allah nanti.. Semoga kita juga menjadi umat yang terbaik seperti yang difirmankan oleh Allah.>

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS 3:110)

Cuba kita fikirkan, bagaimana jika akar itu tidak kuat? Pasti bila-bila masa sahaja pohon itu akan tumbang...Begitu juga dengan diri kita. Kekuatan iman itu amat penting untuk diterapkan dalam diri kita... Keimanan kitalah yang akan memandu diri kita sama ada kita akan memilih persimpangan kehidupan, yang mana satukah kita akan pilih, sama ada jalan kebaikan atau jalan kejahatan. Biarlah diri kita dipandu oleh wahyu Allah bukannya dipandu oleh nafsu... jagalah amalan-amalan kita, luruskan niat selalu, kerana keikhlasan itu tadaik mampu diukur dengan apa pun... hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauh mana kita ikhlas... setiap dari kita lahir dengan potensi yang kita tidak sangka-sangka... Cuba galilah potensi yang ada dalam diri kita demi membantu kebangkitan semula Islam...>

Mari kita sama-sama hayati kata-kata as-Syahid Imam Hassan al-Banna, ” orang yang tidak memiliki sesuatu maka tidak bisa memberikan kepada orang lain”>

Ambillah pengajaran dari apa sahaja ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Walaupun ianya hanya sebutir pasir .....>

Tuesday, March 9, 2010

Sifat zuhud Nabi Muhammad, cairkan sikap orang kafir - Surah al-An'am ayat 49 hingga 50

Firman Allah bermaksud, " Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik." (Surah al-An'am :49)

Ertinya, mereka yang mendustakan (mengkufuri) al-Quran (ayat-ayat keterangan yang dapat dibaca) yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dan ayat-ayat keterangan yang dapat dilihat (alam yang menjadi hujah mengenai keagungan dan kekuasaan Allah) dengan mata mereka sendiri, mereka akan dikenakan azab seksa yang pedih daripada sebab kejahatan dan kekufuran yang mereka lakukan terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya s.a.w.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w): "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku." (Surah al-An'am : 50)

Yakni Allah SWT memerintahkan supaya Nabi s.a.w berkata kepada mereka yang kufur itu bahawa baginda s.a.w tidak mengatakan yang harta perbendaharaan milik Allah berada di sisinya.

Bahkan Nabi s.a.w tidak pernah memiliki harta kekayaan walaupun baginda s.a.w berupaya untuk mendapatkannya.

Ini kerana baginda s.a.w pernah ditawarkan oleh golongan kafir Quraisy harta kekayaan dan pangkat kedudukan jika baginda s.a.w meninggalkan kerja-kerja dahkwah mengajak manusia kepada Islam.

Nabi s.a.w boleh memohon pertolongan Allah untuk mendapatkan harta kekayaan atau perbendaharaan Allah jika dia mahu. Tetapi baginda tidak berbuat demikian Inilah sifat zuhud dan tawaduk baginda s.a.w

Sejarah membuktikan baginda adalah seorang Nabi yang tidak mempunyai harta kekayaan, tidak seperti Nabi Sulaiman a.s. bahkan semasa wafat baginda s.a.w masih berhutang dengan Yahudi di Madinah.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan aku pula tidak mengetahui perkara yang ghaib." (Surah al-An'am:50)

Allah juga memerintahkan Nabi s.a.w supaya memberitahu orang-orang kafir itu bahawa perkara ghaib itu adalah di dalam ilmu Allah SWT. Nabi Muhammad s.a.w tidak akan dapat mengetahuinya melainkan Allah yang memberitahunya. Nabi s.a.w tidak berkuasa untuk mengetahui semuanya itu melainkan Allah yang memberitahu kepadanya.

Banyak peristiwa dalam sejarah menjelaskan bagaimana Allah SWT menampakkan perkara-perkara ghaib kepada Nabi s.a.w di mana Nabi s.a.w melihat malaikat dan Jibrail dalam pelbagai rupaya seperti seorang lelaki yang lawa dan berpakaian serban putih dan dalam bentuk rupanya yang asal datang menemui Rasulullah s.a.w dalam banyak peristiwa sepanjang hayatnya sehingga baginda s.a.w wafat.

Allah berfirman lagi, "Aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat." (Surah al-An'am : 50)

Allah turut memerintahkan nabi s.a.w berkata kepada golongan kuffar itu bahawa beliau tidak pernah mengatakan dan mengakui bahawa baginda adalah seorang malaikat. Baginda adalah seorang manusia yang dipilih oleh Allah menjadi rasul. Baginda masih bersifat seperti manusia biasa yang lain, perlu makan dan minum, perlu berkawin dan sebagainya.

Orang-orang kafir itu menghina Nabi s.a.w kerana perkara ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Mengapa rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar seperti manusia lain)?" (Surah al-Furqan:7)

Cuma bezanya dengan manusia yang lain ialah baginda s.a.w diutuskan sebagai rasul untuk menyampaikan dan memberi contoh teladan yang baik kepada manusia bagaimana seharusnya mereka melaksanakan segala suruhan Allah daripada sekecik-kecil perkara sehingga ke sebesar perkara daripada membuang duri dan batu di tengah jalan sehingga mendirikan kerajaan Islam dan menegakkkan hukum Allah SWT di atas muka bumi dan berjihad, berperang bagi menegakkan agama Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud, "Aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku." (Surah al-An'am : 50)

Allah SWT memerintahkan Nabi s.a.w berkata kepada golongan yang tidak beriman itu bahawa baginda s.a.w tidaklah melakukan sesuatu perkara melainkan menurut segala perintah wahyu daripada Allah yang disampaikan kepadanya melainkan Jibrail a.s

Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud," Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya." (Surah an-Najmu:3-4)

Friday, March 5, 2010

Pengarah Radio IKIM didesak ‘Letak Jawatan’ kerana panggil Presiden PAS Muzakarah ,

Quantcast


Seorang teman menyampaikan kepada saya bahawa perletakan jawatan Pengarah Radio IKIM, Ir Ahmad Jais Alias berkuatkuasa 1 Mac lalu bukanlah perletakan jawatan yang sukarela. Bernama pada 19 Januari telah menyiarkan berita bahawa beliau akan meletakan jawatan setelah berkhidmat selama setahun dua bulan bermula pada 1 Januari 2009. Memang pelik kenapa beliau letakan jawatan secara tiba-tiba walhal baru berkhidmat setahun jagung.

Beliau dikatakan telah diberikan tekanan oleh pihak atasan bagi meletakan jawatan berikutan tindakannya menjemput Presiden PAS bagi menyertai Muzakarah Pakar anjuran IKIM pada 21 Januari lepas. Muzakarah itu diadakan bagi membincangkan isu nama Allah dan Tun Abdullah turut hadir bersama bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Sebelum ini juga, beliau turut dikatakan mengunakan kedudukannya bagi menjemput beberapa Ustaz-ustaz PAS untuk menjadi penceramah dan memberikan kuliah agama di Radio IKIM. Ya! mereka hanya beri kuliah agama, bukan ceramah politik. Pendengar Radio IKIM boleh jadi saksi.

Ekoran dari tindakan beliau yang tidak disenangi itu, gaji beliau ditahan, elaun dan bayaran claim beliau turut tidak dibayar.

Jika melawat laman web IKIM, nama beliau juga sudah dikeluarkan walaupun baru 4 hari beliau letak jawatan. Tiada sebarang majlis perpisahan diadakan untuk beliau dan akhirnya beliau kembali menjadi orang dagang walhal kehadirannya selama setahun di IKIM telah banyak memberikan perubahan besar kepada imej dan rating Radio IKIM.

Memang tidak logik, dalam keadaan ekonomi yang gawat ini beliau yang baru setahun dua bulan bekerja dengan IKIM mahu letakan jawatan tanpa sebab. Lainlah kalau beliau mendapat tawaran jawatan yang lebih baik. Ada juga logiknya. Kini Ahmad Jais dilaporkan menjadi penceramah bebas dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Selepas ‘perletakan jawatan’ beliau, dikhabarkan bahawa beberapa slot ceramah yang kebanyakannya disampaikan oleh Ustaz-ustaz PAS akan disusun semula dan dimansuhkan perlahan-lahan. Beberapa DJ dan kakitangan juga dikatakan menerima tekanan yang sama agar mereka meletakan jawatan.

Berita dan cerita ini tersebar luas di IKIM dan pendengar setia Radio IKIM pasti mahu mencari jawapannya. Tidak sepatutnya beliau dipecat jika alasan Politik sedangkal itu digunakan. Beliau sebagai seorang yang berilmu telah mengunakan kedudukannya bagi meletakan orang-orang yang berilmu tanpa mengira apa jua parti untuk kebaikan masyarakat. penyingkirannya adalah satu kezaliman!

Saya yakin, IKIM akan menafikan cerita ini. Tapi kebenaran itu tidak akan dapat disembunyikan sampai bila-bila. Teman saya juga mengatakan bahawa sampai sekarang beliau belum menerima gaji terakhirnya! memang zalim.

sumber:blog muslimeen united

Nota : Beliau akan berforum dipentas PAS hari ini di Seremban, harap boleh hadir beri sokongan:

[BANNER+Forum+Maulid.jpg]