Showing posts with label Mauizhoh. Show all posts
Showing posts with label Mauizhoh. Show all posts

Wednesday, March 31, 2010

TARBIYYAH RUHIYYAH TANGISAN KERANA TAKUT KEPADA ALLAH � SATU PENILAIAN TERHADAP PERSOALAN HATI

Fenomena tangisan di kalangan manusia hari ini mempunyai maksud yang tersendiri, ini kerana ada yang menangis sebab ditinggalkan orang yang amat dikasihi, sama ada seorang kekasih, ibu, bapa, anak-anak, jiran, sanak saudara terdekat dan seumpamanya.

Terdapat juga yang menangis kerana terlalu gembira sebab bertemu semula dengan orang yang terpisah sejak sekian lama, ada juga di kalangan mereka yang terlalu mudah untuk mengalirkan air mata apabila menonton sebuah cerita yang berkonsepkan kesedihan dengan pelbagai karenah dan watak dalam filem tertentu.

Apapun amat sukar hari ini untuk mendapatkan jenis manusia yang menangis kerana takutkan Allah sebab ia amat terbatas, ini kerana jiwa serta hati mereka tidak terikat melalui hubungan dengan Allah selaku Pencipta, atau dengan kata lain hati mereka tidak melalui proses tarbiyyah seperti yang dialami oleh generasi silam.

Hati manusia hari ini tidak selembut mereka yang terdahulu daripada kita, malah tidak berusaha untuk mencari jalan bagaimana hati tersebut dapat dilunak dan dijinakkan melalui hubungan dengan Allah SWT.

Pendek kata, faktor yang menyebabkan manusia hari ini tidak mementingkan persoalan pensucian hati dan jiwa adalah disebabkan mereka tidak menggarap ilmu agama dengan sepatutnya, mereka membiarkan hati tersebut kosong dan akhirnya terjebak dalam kancah yang amat dikutuk oleh Allah SWT.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w ada memberi wasiat kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud : Wahai Ali, jika sekiranya berlalu 40 hari di kalangan orang-orang Islam dan mereka tidak duduk (secara langsung) dengan para alim ulama. (menadah kitab, maka mereka akan ditimpakan oleh Allah dengan dua implikasi, pertama hati mereka menjadi keras dan kedua mereka berani pula (terjebak) melakukan dosa-dosa besar.

Jelas daripada wasiat baginda s.a.w di atas menunujukkan kepada kita, bahawa apabila seseorang muslim itu yang tidak bersedia untuk duduk bersama alim ulama. Untuk belajar daripada mereka, maka dia akan ditimpakan dua perkara, hati keras yang tidak memungkinkan dia mendapat petunjuk daripada Allah malah berani pula melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat, membunuh, meragut, memfitnah Islam membenci ulama, menderhaka kepada kedua ibu bapa, melanggar perintah Allah, menghina hukum-hukum Islam, meletupkan mangsa yang dibunuh dan banyak lagi yang dianggapa sebagai jenayah di sisi Allah SWT.

Pendekatan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad mengenai nilai air mata

Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra yang bermaksud : Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyu.

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Mereka juga tidak berusaha merebut peluang untuk dimasukkan dalam salah satu daripada tujuh kategori manusia yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat, seperti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat (di padang Mahsyar), di mana tidak ada naungan melainkan naungan Allah :- Pemerintah yang adil, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah, remaja yang membentuk dirinya untuk beribadat kepada Allah, seorang lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang rupawan, hartawan dan mempunyai kedudukan, lalu dia berkata, sesungguhnya aku takut kepada Allah (atau sebaliknya), seorang yang mendermakan dengan tangan kanannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui (kerana ikhlas) dan seseorang itu yang mengingati Allah (dengan mengenangkan segala dosa yang dibuat) hingga mengalirkan air mata (kerana takut kepada Allah) - Hadis Sohih.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda : Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah...........( Hadis riwayat at-Tirmizi).

Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi. golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya : Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata..

Kesan air mata positif yang melayakkan masuk syurga Allah

Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT :

1- Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.

2- Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya.

3- Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.

4- Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.

5- Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.

Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Thursday, March 25, 2010

Pohon Toyyibah

PoHoN ItU...

Pernahkah sesekali kita mengambil masa walaupun hanya seketika untuk mentadabburi keindahan alam ciptaan Allah yang Maha Perkasa ini? Adakah kita mensyukuri dan mengambil iktibar dari apa yang telah dijadikan oleh Allah di sekeliling kita?>

“ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka” ( QS 3: 190-191)

Teringat kata-kata seorang akhwat ketika kami sedang menuruni sebuah gunung di negeri Sembilan. Ketika kami berehat melepaskan lelah, ukht ini memberikan sedikit taujih.>

” Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit, (pohon itu) menghasilkan buah pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya, dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat.” (QS 14:24-25)

Apakah pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat diatas? Bagaimana Allah memperingatkan kita dengan ayat itu. Sangat jelas apa yang diperumpamakan oleh Allah. Cuba kita gambarkan sebatang pohon yang akarnya menghunjam kuat ke tanah (mencengkam), batangnya menjulang ke langit dan sentiasa berbuah pada setiap musim dengan seizin Rabbnya. Bayangkan buah itulah yang menjadi rezeki kepada haiwan mahupun manusia. Sangat besar jasa pohon itu. Mungkin jua akan menjadi naungan manusia ketika waktu panas ataupun hujan..>

Cuba kita kaitkan diri kita dengan pohon itu... Bagaimana gambaran seorang mukmin itu digambarkan sebagai seseorang yang mempunyai akidah yang kukuh tertancap di dalam jiwanya, keimanan yang jitu yang memandu arah hidupnya, hatinya yang benar-benar ikhlas dalam rangkanya mencari redha Allah dan sentiasa menampilkan akhlaqul kharimah kerana dirinya benar-benar tercelup dengan ayat-ayat Allah.. Apakah perkaitan sebenarnya antara seorang mukmin itu dengan pohon itu?>

Akidahnya yang tertancap kukuh di dalam jiwanya kita boleh kaitkan dengan kekuatan akar yang mencengkam di dalam tanah. Apakah fungsi akar itu? Selain dari mengcengkam tanah untuk menstabilkan pohon itu dan mengelakkannya dari tumbang, akar ini juga berfungsi untuk menyerap air dan nutrien yang ada di dalam tanah. Dengan adanya air dan nutrien yang mencukupi, ia akan dapat membantu tumbesaran pohon itu. Apa fungsi akidah yang benar-benar kukuh dalam jiwa kita? Akidah inilah yang akan mengakui bahawa tiada Ilah yang akan kita sembah melainkan Allah, mengakui kebesaran Allah. Akidah ini jugalah yang akan membentuk peribadi seseorang itu. Selain itu, dengan keimanan yang benar-benar jitu, inilah yang akan memandu kehidupan seseorang mukmin itu. Di mana dengan iman yang kukuh dan mendasar di dalam jiwa seseorang muslim akan dapat membantu menepis godaan duniawi yang sentiasa berlegar-legar disekelilingnya.. begitu juga dengan pohon itu, akarnya yang mencengkam kuat itu membantu dari mengelakkannya tumbang apabila ditiup angin yang kencang.>

Pada sebatang pohon itu pasti akan terdapat batang yang berfungsi untuk menstabilkan dan menguatkan pohon tersebut. Seorang mukmin itu juga mempunyai kekuatannya sendiri melalui ibadah wajib yang dikerjakan sehari-harian tanpa ada rasa jemu dan keluh kesah. Ia menjadi tunjang dalam kehidupan seseorang insan itu. Ia banyak membantu diri seseorang itu untuk berdiri teguh dan membantu kekuatan iman itu. Dan pada pohon itu terdapat dahan-dahan yang mana buahnya akan tergantung disitu.. Itulah gambaran ibadah-ibadah sunat yang akan jadi penyokong kepada ibadah wajib kita. Ia membantu untuk menguatkan lagi diri dan dalaman seseorang itu. Kenapa kita perlu melakukan amalan-amalan harian secara istiqomah seperti qiamulail, berzikir, tilawah al-Quran dan lain-lain? Ini kerana ibadah-ibadah sunat inilah yang akan memampung kekurangan yang ada pada ibadah wajib kita. Dan hasilnya akan lahirlah akhlaqul kharimah iaitu akhlak yang mulia terbias dari iman, amal dan hatinya yang bersih... Dan begitu juga pohon itu, pasti ia akan menghasilkan buah yang manis... Pohon sabar itu buahnya akan merasa manis. Maka sifat sabar dan teliti sangat perlu ada dalam diri seseorang mukmin itu..>

Pada pohon itu terdapat dahan-dahan dan daun-daun. Walaupun daun itu sudah berguguran ke tanah tetapi tetap ada peranannya juga. Daun-daun yang gugur itu akan mereput dan menjadi baja yang akan memberikan nutrien kepada tanah itu. Dan ketika daun-daun itu berada di ranting-ranting, ia akan menjalankan proses fotosintesis. Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kehadiran kita di dunia ini memberi manfaat kepada orang lain? Apakah sumbangan kita kepada Islam yang amat kita cintai ini. Persoalan seperti ini sepatutnya kita ajukan kepada diri kita, insan yang lemah dan sentiasa memerlukan kekuatan dari Allah. Sebenarnya erti hidup ini adalah apabila kita banyak memberi kepada orang lain. Maka sangat wajarlah kita merasai kesusahan untuk membahagiakan hidup orang lain.>

Dan pada pengakhirannya, sekuat manapun pohon itu, apabila sudah sampai masanya pasti ia akan menyembah bumi. Begitulah aturan Allah. ”Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (QS 3:185). Begitu juga seorang manusia, terkenal manapun dirinya, suatu hari nanti pasti Allah akan mengambil nyawa kita. Jadi bagaimanakah persiapan kita untuk berjumpa dengan Allah? Sudahkah kita mempersiapkan diri kita? Apakah bekal yang kita akan bawa nanti. Semoga kita sentiasa mempersiapkan diri kita untuk berhadapan dengan Allah nanti.. Semoga kita juga menjadi umat yang terbaik seperti yang difirmankan oleh Allah.>

”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS 3:110)

Cuba kita fikirkan, bagaimana jika akar itu tidak kuat? Pasti bila-bila masa sahaja pohon itu akan tumbang...Begitu juga dengan diri kita. Kekuatan iman itu amat penting untuk diterapkan dalam diri kita... Keimanan kitalah yang akan memandu diri kita sama ada kita akan memilih persimpangan kehidupan, yang mana satukah kita akan pilih, sama ada jalan kebaikan atau jalan kejahatan. Biarlah diri kita dipandu oleh wahyu Allah bukannya dipandu oleh nafsu... jagalah amalan-amalan kita, luruskan niat selalu, kerana keikhlasan itu tadaik mampu diukur dengan apa pun... hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauh mana kita ikhlas... setiap dari kita lahir dengan potensi yang kita tidak sangka-sangka... Cuba galilah potensi yang ada dalam diri kita demi membantu kebangkitan semula Islam...>

Mari kita sama-sama hayati kata-kata as-Syahid Imam Hassan al-Banna, ” orang yang tidak memiliki sesuatu maka tidak bisa memberikan kepada orang lain”>

Ambillah pengajaran dari apa sahaja ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Walaupun ianya hanya sebutir pasir .....>